Sabtu, 16 April 2011

Pil pelangsing beracun dirampas

 
16 April 2011
KLANG – Selepas pil kurus Kintop keluaran China diharamkan awal tahun lalu kerana dikesan mengandungi racun satu lagi produk pelangsingan badan yang disyaki mengandungi ejen pembunuh sama dijual secara berleluasa.

Lebih mengejutkan, pil berw...arna kelabu dalam pek biru itu dikeluarkan oleh pengusaha tempatan di sebuah kilang di Lembah Klang sejak kira-kira empat tahun lalu dengan berselindung di bawah produk kosmetik berasaskan herba.

Hasil ujian makmal Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Kementerian Kesihatan, pil pelangsing yang dijual pada harga RM7 itu mengandungi racun Sibutramine yang boleh membawa maut kepada penghidap penyakit kronik seperti sakit jantung, darah tinggi dan hati jika diambil dalam dos berlebihan.

Hasil maklumat orang ramai satu serbuan telah diadakan oleh Bahagian Penguatkuasa Farmasi Jabatan Kesihatan Malaysia Cawangan Selangor di sebuah pusat kecantikan berdekatan pusat beli belah Klang Parade, Jalan Meru di sini semalam.

Dalam serbuan itu, seramai 10 pegawai penguat kuasa berjaya merampas 60 kotak pil pelangsing tersebut dengan nilai harga mencecah RM10,000.

Menurut jurucakap penguat kuasa farmasi yang terlibat sama dalam serbuan itu, beberapa wanita yang menggunakan produk pil pelangsing keluaran tempatan tersebut mengadu mengalami masalah kesihatan seperti pening kepala, gangguan usus dan pitam.

“Selain menyebabkan komplikasi itu, para pengguna produk ini juga boleh maut akibat kesan dehidrasi yang melampau,” jelasnya.

Katanya, penguat kuasa farmasi kementerian akan menjalankan siasatan lanjut sekiranya ada mana-mana pusat kecantikan yang turut menggunakan atau menjual produk tersebut.

Produk pil pelangsing itu juga mampu mengaburi mata pengguna kerana pada pek tersebut tercacat ia diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan