Memaparkan catatan dengan label Info mengenai OBESITI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Info mengenai OBESITI. Papar semua catatan

Sabtu, 16 April 2011

Obesiti


Obesiti ialah jumlah berat badan yang berlebihan akibat kandungan lemak yang tidak terkawal. Obesiti menyerang tanpa mengira peringkat usia dan jika seseorang itu mengalami masalah obesiti, secara tak langsung, mereka berhadapan dengan penyakit yang berisiko tinggi seperti serangan jantung, diabetes, strok dan darah tinggi. Punca Obesiti ialah makan secara berlebihan terutamanya makanan yang mengandungi kalori, lemak dan gula yang tinggi. Kesibukan bekerja dan malas bersenam juga menjadi salah satu punca obesiti dan lebih ketara ialah jika bekerja di pejabat serta kurang melakukan aktiviti kecergasan. Terdapat beberapa gen dalam tubuh yang mengakibatkan berat badan berlebihan. Contohnya, jika ibu atau bapa seorang obesiti, tidak musatahil anak atau generasi akan datang mengalami masalah yang sama. Selain itu, punca obesiti ini juga ialah mengamalkan pengambilan ubat-ubatan tanpa pengawasan doktor yang menyebabkan berat badan bertambah. Contohnya, steroid yang berlebihan boleh menyebabkan diabetes dan hipertensi

Jom kita ber SLIM DIET 2......
Keterangan lanjut boleh hubungi :-
Team DREAMCHASER II
AZLAN : 012-2228925
SUNAZRAH : 017-2503929

Jumaat, 15 April 2011

PMKD = Perut Maju Ke Depan (Buncit)

TERINGAT istilah PMKD (ini bukan istilah perubatan tetapi bagi singkatan ‘Perut Maju Ke Depan’) digunakan peserta kem kesihatan mengusik rakan lelaki berperut buncit.
Perut Buncit Bukan Satu Kebanggaan Petanda Anda Kaya Dengan Duit!
Perut Buncit Bukan Satu Kebanggaan Petanda Anda Kaya Dengan Duit!

Situasi itu dilihat seolah-olah sudah menjadi ‘trend’, terutama bagi lelaki dalam lingkungan umur lewat 30-an atau selepas beberapa tahun mendirikan rumah tangga.
Masalah perut buncit tidak mengira jantina - ia boleh berlaku pada lelaki dan wanita. Bagaimanapun, kebanyakan wanita mempunyai bentuk badan ‘buah pir’ di mana pengumpulan lemak lebih tertumpu pada pinggul dan paha.

Malah, wanita yang lebih sensitif terhadap penampilan akan berusaha mengekalkan bentuk badan. Baik lelaki atau wanita, berperut buncit bukan perkara membanggakan. Namun apabila usia meningkat, usaha mengurangkan lemak di pinggang dan menurunkan berat badan biasanya payah dan mengambil masa lebih lama.

Bagi wanita, pengumpulan lemak pada pinggang biasanya lebih ketara dengan peningkatan usia, terutama selepas menopaus. Selepas menopaus, lokasi pengumpulan lemak berpindah daripada di bawah lengan, paha dan pinggul ke pinggang.

Berita baiknya, tidak kira apa pun bentuk badan, apabila anda bersenam secara teratur dan menjaga pemakanan, bahagian paling cepat susut dan hilang ialah lemak di pinggang. Lemak pada bahagian lain akan menyusul kemudian.

Mengapa perlu hilangkan lemak di pinggang? Lemak di pinggang atau kegemukan sentral (tengah) adalah petanda kurang baik kerana ia boleh menjejaskan kesihatan seseorang.
Lemak ini dipanggil lemak viseral. Cuba cubit lemak di pinggang anda. Lemak yang boleh dipegang ini di namakan lemak subkutaneus iaitu lemak di bawah kulit. Lemak viseral ialah lemak yang kita tidak dapat lihat; yang terkumpul di keliling organ.

Orang gemuk biasanya mempunyai banyak lemak yang mengisi ruang di antara dan mengelilingi organ. Ia perlu ‘dihilangkan’ kerana boleh menjejaskan fungsi organ dan dalam kes serius, ia menyebabkan organ gagal berfungsi.

Lemak viseral ada di lapisan lebih dalam, tetapi ia lebih mudah dibakar berbanding lemak subkutaneus melalui senaman, kata pensyarah pemakanan Universiti Penn State, Dr Penny Kris Etherton.
Lemak viseral dikaitkan dengan masalah kolesterol tinggi, trigliserida tinggi, tekanan darah tinggi dan terlalu banyak insulin. Pakar perubatan juga menggelarnya ‘lemak pembunuh’.
Lemak di pinggang lebih berbahaya berbanding tempat lain. Lemak viseral meningkatkan risiko untuk mendapat:
  • Penyakit jantung
  • Kencing manis
  • Sindrom metabolik
  • Masalah pundi kencing
  • Tekanan darah tinggi
  • Kanser usus
  • Merangsang keradangan
  • Dikaitkan dengan proses pengerasan salur darah (menyebabkan lebih mudah mengalami masalah jantung)
Penyelidik mendapati sel lemak di pinggang adalah sel aktif. Ia boleh menghasilkan hormon dan bahan lain yang boleh menjejaskan kesihatan.Contohnya, ada sel menghasilkan hormon yang merangsang masalah kerintangan terhadap insulin (menyebabkan sel tidak sensitif kepada insulin yang bertugas mengangkut gula dari darah ke dalam sel).

Ada pula sel lemak menghasilkan hormon estrogen yang boleh meningkatkan risiko kanser payudara. Bagaimanapun, penyelidik masih mencari jawapan bagaimana hormon berlebihan ini boleh menjejaskan kesihatan tetapi yang pasti, berlebihan sel lemak di pinggang mengganggu keseimbangan hormon dalam badan.

Mungkin ada yang terfikir untuk menjalani proses sedut lemak. Menurut Perunding Pembedahan Plastik dan Kosmetik Pusat Perubatan Sime Darby, Dr Lim Chai Leng, proses ini hanya untuk membuang lemak subkutaneus di bawah kulit dan bukan lemak viseral. Lemak viseral masih tetap ada dan hanya hilang melalui senaman.

Menurut Perunding Kanan Endokrinologi, Universiti Malaya, Profesor Dr SP Chan, tahap kesihatan seseorang tidak akan berubah dengan pembedahan sedut lemak kerana ia hanya untuk tujuan kosmetik supaya nampak cantik.Untuk meningkatkan tahap kesihatan, seseorang itu perlu bersenam dan menjaga pemakanan, terutama bagi individu yang berisiko tinggi mendapat kencing manis seperti mempunyai ahli keluarga menghidap penyakit berkenaan.

Siapa yang berisiko mengalami masalah ini? Seseorang itu dikatakan mempunyai simpanan lemak viseral jika ukuran pinggangnya melebihi 98 sentimeter (40 inci) bagi lelaki dan 83 sentimeter (33 inci) bagi wanita.Walaupun orang yang gemuk dan obes mempunyai lebih banyak lemak viseral, tidak bermakna individu dengan berat badan normal tidak mengalami masalah ini. Ada ramai orang yang tidak gemuk tetapi berperut buncit.

Kajian menunjukkan lelaki dan wanita berusia 70 tahun ke atas dengan berat badan normal tetapi mempunyai banyak lemak viseral berisiko tinggi mendapat kencing manis.Walaupun kajian itu ke atas warga tua, ia juga boleh dijadikan peringatan kerana kini ramai golongan muda menghidap kencing manis.

Cara terbaik untuk mengurangkan lemak di pinggang ialah:
  • Bersenam - Senaman aerobik seperti berjalan cepat, menari, berjoging, berbasikal, bermain badminton atau berenang boleh membantu membakar lemak di pinggang dengan cepat. Untuk lebih berkesan, lakukan senaman lima kali seminggu dengan sekurang-kurangnya 60 minit setiap sesi.Lebih lama dan bersungguh-sungguh anda bersenam, lebih banyak lemak di pinggang akan hilang. Senaman yang tertumpu pada bahagian tertentu tidak akan membantu. Senaman ini perlu mampu meningkatkan degupan jantung anda.Kajian Pusat Kanser Fred Hutchinson di Seattle menunjukkan wanita gemuk yang bersenam secara teratur boleh mengurangkan antara 3.4 peratus hingga 6.9 peratus lemak viseral (bergantung kepada kelasakan senaman) tanpa mengubah pemakanan mereka dengan penurunan berat badan sebanyak dua kilogram. Lebih cergas senaman dilakukan, lebih banyak lemak viseral dapat dihilangkan.
  • Makan makanan mengandungi banyak serat. Serat bukan saja membuat anda cepat kenyang, tetapi kenyang lebih lama. Ia akan mengurangkan pengambilan makanan berlebihan. Elak makanan ringan dan banyak lemak.
  • Dapatkan tidur secukupnya. Tidur terlalu sedikit (kurang enam jam) atau terlalu banyak (lebih lapan jam) menyebabkan badan menghasilkan berlebihan hormon tekanan, kortisol. Hormon ini merangsang penyimpanan lemak di pinggang.
  • Belajar mengawal tekanan melalui pelbagai pendekatan, termasuk bersenam. Ia dapat mengurangkan penghasilan hormon kortisol yang sekali gus membantu memudahkan anda mengatasi masalah kegemukan secara keseluruhan.

keterangan lanjut mengenai SLIM DIET 2 boleh hubungi:-
TEAM DREAMCHASER II
AZLAN : 012-2228925
SUNAZRAH : 017-2503929

Rabu, 13 April 2011

Kajian menunjukkan KEGEMUKKAN boleh mengundang BERBAGAI PENYAKIT

“CUBA tengok emak, kakak dan sepupu perempuan yang sudah berkahwin. Kira berapa ramai yang masih mengekalkan bentuk badan seperti ketika bujang. Ramai wanita di negara kita gemuk selepas berkahwin dan melahirkan anak kerana mereka biasanya menjadi orang yang menghabiskan saki baki makanan walaupun sudah kenyang,” kata seorang pakar kardiologi pada sidang kesihatan jantung tidak lama dulu.

Selepas melepasi 35 tahun, usaha untuk menurunkan berat badan biasanya menjadi lebih payah tetapi untuk naik dua atau tiga kilogram dalam sebulan semudah mengelip mata!

Seseorang dikatakan mempunyai berat badan berlebihan apabila kiraan Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 23 kg/m2 (bahagikan berat dalam kilogram dengan ukuran ketinggian dalam meter yang diganda dua). Ada juga pakar kesihatan yang mencadangkan setiap wanita mengekalkan ukuran pinggang supaya lebih kurang sama ketika mereka berusia 20-an.

Selain daripada itu, ramai pakar menyarankan kita mengukur nisbah saiz pinggang ke pinggul, supaya ia tidak melebihi 0.86 bagi wanita dan 0.95 bagi lelaki. Ini bertujuan menggalakkan wanita menumpukan lebih perhatian dan meletakkan keutamaan diri sendiri sebaris dengan suami dan anak-anak, khususnya dalam soal kesihatan.

Mengekalkan berat badan seimbang adalah faktor utama dalam penjagaan kesihatan khususnya bagi golongan pertengahan umur. Kajian menunjukkan bentuk badan buah pir (kegemukan di pinggang) memberi kesan lebih negatif terhadap kesihatan (khususnya penyakit jantung) berbanding bentuk epal (lemak berkumpul di pinggul dan paha).

Namun kini, penyelidik mendapati peningkatan berat badan juga boleh menjejaskan daya ingatan. Dalam kajian Inisiatif Kesihatan Wanita ke atas 9,000 wanita pertengahan umur yang disiarkan dalam Jurnal Persatuan Geriatrik Amerika, mendapati bagi setiap peningkatan satu mata BMI, kiraan markah untuk ujian daya ingatan menurun satu mata.
Maknanya, makin gemuk seseorang wanita itu, lebih tinggi kemungkinannya mengalami masalah daya ingatan.

Menurut Ketua Penyelidik, Sekolah Perubatan Feinberg Universiti Northwestern, Chicago, Dr Diana Kerwin, kajian berkenaan mengukuhkan lagi kepentingan untuk wanita menjaga berat badan. Malah, wanita gemuk tetapi mempunyai tekanan darah dan paras kolesterol normal juga perlu berusaha mengurangkan berat badan mereka; kerana ia akan memberi manfaat kepada kesihatan jantung dan otak.

Kajian dilakukan ke atas wanita berumur antara 65 hingga 79 tahun, 70 peratus daripada mereka alami masalah berat badan berlebihan atau obes tetapi tidak menunjukkan gejala dementia (nyanyuk) atau lain-lain ketidaknormalan pada otak.

Kajian ini juga membuktikan bahawa kegemukan dan obesiti tidak hanya mendekatkan seseorang dengan penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi, sakit jantung dan strok tapi juga meningkatkan risiko nyanyuk.

Kajian lain pula mendapati orang yang alami kegemukan di pinggang terutama wanita mempunyai risiko lebih tinggi mendapat kanser pankreas. Bagi yang sudah alami masalah kegemukan, perlulah mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan berat badan secara sihat dengan mendapatkan nasihat doktor, pakar pemakanan dan senaman.

Berat badan kita tidak bertambah semalaman, ia berlaku secara perlahan-lahan dalam tempoh yang lama.

Justeru, pengurangan berat badan juga mestilah dilakukan secara perlahan dan berperingkat. Penggunaan produk untuk mengurangkan berat badan secara drastik dan cepat dikhuatiri boleh membahayakan kesihatan.

Antara punca peningkatan berat badan:
Terlebih makan

Kurang bersenam

Kurang tidur - Jika kita berjaga hingga lewat malam, kita akan lebih cenderung untuk makan dan ini akan meningkatkan pengambilan kalori. Apabila kita tidur lewat, proses biologi badan akan merosot dan hormon yang memberi kesan kepada selera akan mengambil alih menyebabkan anda berasa lebih lapar pada waktu pagi. Hormon ini juga akan membuatkan kita berasa kurang kenyang selepas makan.

Tekanan - Apabila dalam keadaan terlalu tertekan, badan akan berada dalam mod berjuang dengan menghasilkan hormon kortisol (hormon tekanan) yang akan menyebabkan selera makan bertambah. Biasanya dalam keadaan tertekan, kecenderungan untuk makan juga meningkat bagi melegakan fikiran dan perasaan. Ketika inilah kita cenderung memilih makanan yang tinggi kandungan kalori - secara tidak langsung mengukuhkan asas kepada masalah berlebihan berat badan.

Pengambilan ubat antikemurungan - Antara kesan sampingan pengambilan ubat penenang ialah peningkatan berat badan yang berlaku pada kira-kira 25 peratus pengguna terutama jika ia diambil dalam jangka masa panjang. Bincanglah dengan doktor untuk menukar ubat jika anda turut mengalami perkara sama. Ada orang yang berat badannya bertambah sebaik memulakan pengambilan ubat; kerana apabila fikiran tenang, selera makan turut bertambah.

Ubat antikeradangan seperti corticosteroid - Selain mengurangkan atau menghentikan keradangan, ia juga boleh menyebabkan retensi air dan peningkatan selera. Bagaimanapun, kesannya berbeza mengikut pesakit dan dos yang diambil.

Masalah hipotiroidisme - Ia bermakna kelenjar tiroid (terletak di leher) tidak dapat menghasilkan hormon tiroid secukupnya menyebabkan anda cepat berasa letih, lemah, sejuk dan berat badan bertambah. Ketidakcukupan hormon tiroid akan memperlahankan metabolisma, membuatkan berat badan lebih cepat meningkat. Malah berat badan juga boleh bertambah walaupun paras hormon berada pada had terendah dalam julat normal.

Penuaan - Penuaan juga akan memperlahankan metabolisma dan pembakaran kalori mengambil masa yang lebih lama. Apabila usia meningkat kita juga menjadi kurang aktif. Bagi wanita menopaus, pengumpulan lemak biasanya berlaku di pinggang; dan bukannya di pinggul dan paha seperti wanita muda.

Sindrom Polisistik Ovari (PCOS) - Ini adalah masalah hormon yang lazim di kalangan wanita muda. Banyak sista kecil tumbuh pada ovari wanita yang mengalami PCOS dan ia menyebabkan ketidakseimbangan hormon yang turut menjejaskan kitaran haid wanita berkenaan, pertumbuhan bulu roma berlebihan dan jerawat. Wanita PCOS juga mengalami masalah kerintangan insulin (kurang sensitif pada insulin untuk mengangkut gula daripada darah masuk ke dalam sel); mengakibatkan berat badan mereka meningkat.

Berhenti merokok - Nikotin akan menumpulkan selera dan sensitiviti deria rasa pada lidah. Apabila seseorang itu berhenti merokok, keadaan akan kembali normal dan inilah yang menyebabkan selera makan bekas perokok bertambah. Secara purata orang yang berhenti merokok mengalami pertambahan berat antara dua hingga empat kilogram. Bagaimanapun pertambahan berat badan ini boleh dikawal dengan mengawal jumlah makanan yang diambil. Janganlah ada perokok yang menjadikan perkara ini sebagai alasan untuk tidak berhenti merokok kerana di kalangan perokok tegar pun ramai yang gemuk.

Jika anda mengalami masalah berat badan:
Jangan berhenti mengambil ubat tanpa nasihat doktor. Ketahui fungsi dan kepentingan ubat yang anda ambil. Ia mungkin sangat penting untuk kesihatan anda. Biasanya apabila doktor memberikan anda ubat, dia sudah membuat pertimbangan antara manfaat dan kesan sampingan yang mungkin anda hadapi.

Jangan membandingkan diri anda dengan orang lain yang mengambil ubat sama. Setiap orang mempunyai tindak balas berbeza dan bukan semua orang akan mendapat kesan sampingan yang sama. Begitu juga dengan ubat menguruskan badan. Pada A ia mungkin berkesan tetapi tidak semestinya ia akan memberi kesan yang sama pada anda.

Jangan panik jika penambahan berat badan anda disebabkan retensi air kerana ia hanyalah sementara. Kesan ini akan hilang sebaik anda menghabiskan pengambilan ubat berkenaan.

Mulakan program mengawal makan dan bersenam. Ia bukan saja membantu mengatasi masalah anda tetapi akan meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.

Keterangan lanjut boleh hubungi :-
Team Dreamchaser II
Azlan 012-2228925
Sunazrah 017-2503929

Selasa, 12 April 2011

Budaya Makan Malam PUNCA OBESITI


TENTU ramai bersetuju bahawa orang Malaysia makan mengikut selera. Apa sahaja makanan yang sedap akan diambil tanpa memikirkan kesan pada kesihatan. Malah ramai juga yang berpegang pada falsafah, 'hidup hanya sekali dan makanlah selagi ada selera sebab jika sudah sakit, semuanya tidak boleh dimakan'.

Pepatah 'mencegah lebih baik daripada mengubati' tidak dihiraukan sehingga timbul falsafah baru, 'dulu orang mati tak cukup makan, sekarang mati sebab berlebih makan'.

Makan mengikut selera bukan sahaja boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit malah menjadikan ramai di kalangan rakyat Malaysia gemuk atau obesiti.

Sebab itu tidak menghairankan apabila kajian menunjukkan juah penduduk negara ini yang mengalami obesiti semakin membimbangkan dan menjadi punca masalah kesihatan di Malaysia.

Bukan saja di kalangan orang dewasa, malah lebih teruk menular di kalangan kanak-kanak dan remaja yang rata-rata dilanda masalah kesihatan adalah disebabkan oleh obesiti.

Akibatnya kes-kes penyakit kronik meningkat di kalangan rakyat negara ini.

Salah satu daripada sebab kepada masalah ini ialah kegemaran kanak-kanak, remaja malah dewasa terhadap makanan segera.

Makanan segera seakan-akan telah menjadi budaya dan kebanggaan mereka yang menikmatinya daripada sarapan pagi, makan tengah hari dan malam.

Budaya makan makanan segera yang sebahagian besarnya datang dari negara luar hakikatnya tidak sesuai dengan budaya kita.

Ini kerana makanan segera lazimnya berkalori tinggi yang mungkin menjadi keperluan penduduk negara sejuk tetapi bukan di Malaysia.

Ibu bapa harus memainkan peranan mendidik anak-anak agar tidak bergantung kepada makanan segera.

Nikmati makanan yang dimasak sendiri di rumah kerana kita dapat mengawal kandungan kalori, lemak dan sebagainya di dalam makanan.

Satu lagi punca obesiti tanpa disedari ialah budaya atau tabiat suka makan pada waktu malam.

Restoran dan gerai-gerai yang berselerak di Kuala Lumpur yang dibuka 24 jam membuatkan ramai yang menghabiskan waktu santai mereka makan dan minum sehingga lewat malam.

Memetik kata-kata mantan Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar yang pernah penulis temui tidak lama dulu, banyak negara yang telah dikunjunginya dan puas mengelilingi dunia, tiada negara yang restoran atau gerai makan yang dibuka 24 jam kecuali Malaysia.

Penduduk negara ini memang bertuah kerana boleh makan 24 jam atau lebih tepat jika dikatakan Malaysia sebagai syurga makanan.

Keistimewaan ini juga yang menarik ramai pelancong ke negara ini kerana mereka boleh makan sehingga lewat malam.

Lebih bertuah mereka yang sememangnya tidak boleh tidur malam lantas menghabiskan masa dengan makan-makan di restoran mamak 24 jam atau gerai yang menjual bermacam-macam jenis makanan yang enak.

Tetapi yang buruknya, kadar metabolisme kita rendah pada waktu malam. Ini membuatkan lemak lebih mudah berkumpul. Kebanyakan restoran 24 jam menjual makanan yang tinggi kandungan lemak, kalori dan kolesterol.

Contohnya sekeping roti canai mengandungi 301 kalori, roti telur ( 356 kalori), capati (300 kalori), mi goreng (281 kalori) dan ayam goreng (255 kalori).

Banyak yang harus diubah seperti diet yang tidak seimbang dan tabiat makan pada waktu malam.

Pada masa lalu, kebiasaannya orang makan dua kali sehari, iaitu tengah hari dan malam. Tetapi pada hari ini, kebanyakannya makan lima hingga enam kali sehari termasuk makan lewat malam di kedai Mamak.

Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia, Prof. Dr. Mohamad Ismail Noor berkata, gejala obesiti yang tidak dibendung boleh melemahkan struktur masyarakat kerana sebahagian besar generasi muda yang gemuk tidak aktif dan berpenyakit.

Justeru katanya, obesiti mesti ditangani secepat mungkin sebelum semakin ramai rakyat Malaysia mengalaminya.

"Obesiti boleh menyebabkan perubahan dalam sistem enzim dan hormon tubuh dan memberikan kesan negatif pada kesihatan.

"Pelbagai penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis, sakit buah pinggang, jantung serta menjejaskan sistem reproduksi berpunca daripada obesiti," katanya.

Statistik menunjukkan obesiti di kalangan orang dewasa negara ini meningkat mendadak kepada 250 peratus pada tempoh 10 tahun lalu daripada 1996.

Sementara itu, juah mereka yang mengalami kegemukan turut bertambah kepada 70 peratus.

Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2006 pula menunjukkan dua daripada setiap lima orang dewasa atau 43 peratus mengalami sama ada kegemukan atau obesiti.

Lebih membimbangkan juah dewasa obes bertambah lebih tiga kali ganda lebih sedekad lalu, daripada empat peratus pada tahun 1996 kepada 14 peratus pada 2006.

Selain itu, kira-kira 38 peratus daripada remaja yang berumur di antara 12 hingga 18 tahun diklasifikasikan sebagai terlebih berat.

Kajian yang dilakukan baru-baru ini terhadap 10,000 orang pelajar menunjukkan 24 peratus yang berumur di antara enam tahun hingga 12 tahun terlebih gemuk atau obesiti.

Bagi membendung masalah obesiti yang semakin membimbangkan di negara ini, Kementerian Kesihatan akan menempatkan kira-kira 300 pakar pemakanan di klinik kerajaan terpilih secara berperingkat bagi memberi kaunseling mengenai obesiti.

Kerajaan benar-benar memandang serius masalah obesiti di kalangan rakyat dengan menubuhkan Majlis Cegah Obesiti Malaysia (Mcom) baru-baru ini.

Dr. Mohamad berkata, masalah obesiti di Malaysia berada pada tahap membimbangkan bagi semua peringkat umur.

Terdapat dua punca utama yang dikesan menyebabkan kepada masalah obesiti, iaitu makan berlebihan dan kurang bersenam.

Terdapat juga kes kegemukan yang disebabkan oleh kes keadaan kesihatan seperti masalah endokrin dan pengambilan ubat-ubatan atau dadah tertentu.

''Kajian yang dilakukan mendapati masyarakat kita tidak suka bersenam kerana menganggap senaman tidak penting dan tidak ada alasan untuk mereka bersenam.

''Banyak faedahnya bersenam kerana badan akan menjadi sihat dan kuat serta menjauhkan daripada pelbagai penyakit.

"Dengan bersenam, kita dapat membina kekuatan otot, meningkatkan keupayaan badan mengawal paras glukosa darah, membantu mengawal lipid darah yang tidak normal, menguatkan tulang dan melambatkan proses osteoporosis.

''Selain itu, tidak banyak tempat untuk beriadah, kes ragut, rogol, bunuh dan sebagainya menghalang orang untuk keluar bersenam lebih-lebih lagi selepas Subuh di mana sekeliling masih gelap.

''Tidak ramai yang mampu untuk ke kelab kesihatan atau membeli peralatan untuk diletakkan di rumah.

"Sebenarnya banyak aktiviti yang boleh dilakukan di rumah bagi mengeluarkan peluh seperti menari, mengemas rumah, berkebun dan mencuci kereta. Aktiviti seperti ini juga dapat membantu menguatkan otot-otot.

''Kerajaan mempunyai banyak perancangan untuk memberikan kemudahan kepada masyarakat seperti menyediakan lebih banyak tempat beriadah tetapi amat sukar untuk melaksanakan kerana kekurangan peruntukan.

''Sebenarnya banyak cara untuk bersenam. Berjalan kaki juga salah satu daripada jenis senaman.

"Tetapi orang kita terlalu bergantung kepada kereta, hendak pergi kedai yang dekat pun hendak naik kereta. Hendak pergi tingkat satu pun nak naik lif. Mereka tidak mahu naik tangga sedangkan itu adalah senaman yang baik, mudah dan ringkas ,'' ujar Prof Mohamad Ismail lagi.

Beliau menambah, setiap orang harus mengubah cara pemikiran mereka mengenai obesiti.

Ramai yang memandang remeh dan tidak takut pada obesiti kerana pada mereka obesiti tidak membunuh. Tetapi H1n1 membunuh dan mereka amat takut kepada penyakit-penyakit seperti ini.

Bagaimanapun katanya, jika seseorang itu telah obesiti maka ia akan selama-lamanya begitu. Banyak kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat dan Eropah mengenai obesiti namun tidak banyak yang boleh dilakukan untuk menanganinya.

Keterangan lanjut boleh hubungi :-
Team Dreamchaser II
AZLAN 012-2228925
SUNAZRAH 017-2503929