Selasa, 16 Ogos 2011

Tabiat Makan Punca DIABETES


News : Oleh Norzaila Rosli (Yang menghadiri Kongres Hipertensi Asia-Pasifik di Singapura tajaan Pfizer)

MENGUBAH tabiat manusia sememangnya suatu perkara paling sukar dilakukan dalam kehidupan kita.

Tetapi, tahukah anda penyakit seperti diabetes atau kencing manis boleh membuatkan anda merana seumur hidup sekiranya amalan gaya hidup dan pemakanan yang tidak sihat tidak dihentikan segera?

Diabetes yang sehingga kini masih belum ada penawarnya bukan sahaja `menyerang’ secara perlahan malah boleh menimbulkan pelbagai komplikasi.
Antaranya kebutaan, amputasi (kehilangan anggota tubuh), kerosakan urat saraf, kerosakan buah pinggang, masalah kardiovaskular seperti serangan jantung dan angin ahmar serta boleh kehilangan jangka hayat.

Oleh itu, awasilah diet, pemakanan dan gaya hidup sekiranya anda sayangkan diri dan nyawa anda.

Menurut kajian yang dilakukan ke atas penyakit tersebut, diabetes didapati semakin menular di kalangan masyarakat Asia terutama golongan lelaki pertengahan umur ke atas.
Peningkatan dari segi statistik itu menunjukkan penduduk Asia bakal berhadapan risiko kehilangan nyawa lebih tinggi sekiranya penyakit tersebut tidak dikawal segera.
Berdasarkan statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebanyak 300 juta orang di seluruh dunia dijangka menghidap diabetes menjelang tahun 2025.

Daripada jumlah tersebut, satu per tiga daripadanya adalah dari Asia Tenggara.
Walaupun diabetes tidak membunuh tetapi pesakit boleh kehilangan nyawa sekiranya turut menghidapi penyakit berbahaya lain.

Biasanya individu yang menghidap diabetes cenderung mendapat penyakit seperti tekanan darah tinggi dan paras kolesterol yang tinggi.

Kedua-dua penyakit ini boleh mendatangkan akibat yang berbahaya seperti serangan jantung atau angin ahmar sehingga meragut nyawa.

Menurut pakar endokrin kampus kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian Kelantan, Prof. Mafauzy Mohamed, kadar tekanan darah tinggi di kalangan pesakit diabetes di Malaysia semakin meningkat.

“Seramai 55.9 peratus mempunyai tekanan sistolik (bacaan atas) melebihi 140mmHg manakala 40.9 peratus pula mempunyai tekanan diastolik (tekanan bawah) melebihi 90mmHg,” katanya.

Beliau berkata, rakyat perlu sentiasa diingatkan tentang tabiat makanan yang betul dari semasa ke semasa supaya tidak leka dengan risiko yang bakal diterima.

“Apa yang enak dimakan tidak semestinya bagus dan begitu juga sebaliknya,” kata beliau.
Mengulas lanjut, Prof. Mafauzy menjelaskan masyarakat Melayu khasnya tidak gemar makan sayuran, lebih-lebih lagi yang boleh mendatangkan khasiat kepada tubuh badan.

Justeru katanya, kadar serangan jantung dan angin ahmar di kalangan pesakit diabetes Melayu adalah lebih tinggi berbanding bangsa lain.

“Orang Melayu gemar kepada makanan yang bersantan dan bergoreng. Kita perlu ingat, santan dan minyak adalah sumber utama kolesterol. Jika dilihat, kadar obesiti semakin meningkat kerana penggunaan santan dan minyak yang berlebihan dalam makanan kita pada hari ini.

“Kita sepatutnya tidak melupakan amalan pemakanan nenek moyang kita yang gemar membakar dan merebus makanan,” katanya lagi.

Hubungan antara tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan penyakit kardiovaskular telah disahkan tahun lalu melalui suatu kajian yang dipanggil ASCOT (Ujian Kedapatan Kardiak Anglo-Scandinavian).

Prof. Neil Poulter dari Imperial College London berkata, kawalan ke atas tahap kolesterol dalam badan boleh mengurangkan risiko serangan jantung atau angin ahmar di kalangan pesakit diabetes.

“Pesakit diabetes mempunyai risiko serangan jantung dan angin ahmar lebih tinggi daripada orang biasa. Mereka perlu mengawal tekanan darah tinggi dan kadar kolesterol dengan berhati-hati,” katanya.

Menurut Prof. Neil, penyakit diabetes merupakan salah satu daripada penyakit yang meningkat secara mendadak di Asia.

Fenomena ini disebabkan oleh banyak faktor termasuk peningkatan kadar obesiti di kalangan penduduk di benua ini.

Walaupun diabetes boleh disebabkan oleh faktor genetik tetapi persekitaran juga adalah antara faktor utama yang menyebabkan diabetes.

“Tidak ada cara yang paling berkesan untuk mencegah diabetes selain mengubah sikap individu itu sendiri. Tabiat makan secara berlebihan dan makanan segera serta kurang melakukan aktiviti fizikal bukan saja menyebabkan obesiti malah boleh mendatangkan risiko berbahaya kepada pesakit diabetes,” katanya.

Menurut pakar perubatan dari Baker Heart Research Institute, Australia, Profesor Colin Johnston, antara faktor utama yang mendorong kepada peningkatan tersebut ialah pengaruh makanan Barat dan tuntutan gaya hidup masyarakat hari ini yang semakin mencabar.

Katanya, para doktor perlu mengawasi pesakit diabetes masing-masing memandangkan kebarangkalian pesakit diabetes menghidap tekanan darah tinggi adalah besar.

“Ia bukan sahaja berbahaya kepada pesakit diabetes tetapi turut membuatkan mereka menjadi lemah atau tidak berdaya.

“Oleh sebab itu, menjadi tanggungjawab doktor untuk merawat tekanan darah tinggi yang dihidapi pesakit dan mengadakan pemeriksaan secara kerap ke atas mereka,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, kebanyakan serangan jantung dan angin ahmar yang berlaku ke atas pesakit diabetes boleh dielakkan dengan menjalani pengurusan tekanan darah yang berkesan secara berkala.


Source : http://www.utusan.com.my

Sunazrah Saleh : 017-2503929

Tiada ulasan:

Catat Ulasan